AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memohon penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kompaun RM10,000 yang dikenakan terhadap Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, perhimpunan dalam majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur baru-baru ini sudah memasuki Fasa ke 4, maka Ordinan Darurat telah terbatal.
Justeru, katanya, bukankah sepatutnya ia kembali kepada Akta 342 iaitu kompaun dikenakan hanya RM1,000.
“KKM kompoun BN RM10,000 kerana Majlis pelancaran jentera BN Melaka di PWTC yang masuk Fasa 4.
“Tegas betul KJ (Khairy Jamaluddin). Mohon penjelasan, bukankah Ordinan Darurat sudah dibatalkan oleh Parlimen. Ikut asal Akta 342 kompoun hanya RM1,000,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, BN dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Kompaun tersebut dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ia susulan kegagalan BN memastikan penjarakan fizikal ketika majlis pelancaran jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail, di PWTC. – Malaysiapost

