KETUA Pemuda Amanah Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md Noor memohon maaf di atas tiga kenyataan fitnahnya terhadap penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Beliau juga mengakui telah membuat hantaran fitnah itu di Facebook pada bulan April tahun ini.
“Saya, Ahmad Zhafri Md Noor, mengakui telah menerbitkan di laman Facebook saya 18, 27 dan 28 April 2021 tiga kenyataan fitnah terhadap Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zhafri juga mengakui bahawa segala apa yang dikatakan tersebut adalah tidak benar, sebaliknya beliau kini menegaskan bahawa beberapa perkara mengenai Dr Kamarul Zaman seperti berikut;
1) Dr Kamarul Zaman tidak mempunyai mentaliti pengalah (loser mentality).
2) Dr Kamarul Zaman tidak memainkan sentimen perkauman. Dr Kamarul Zaman tidak takut orang Cina memberi bantuan kepada orang Melayu.
3) Dr Kamarul Zaman tidak menuduh orang Cina ada agenda menarik sokongan orang Melayu.
4) Dr Kamarul Zaman tidak berpewatakan rasis dan memalukan.
5) Dr Kamarul Zaman tidak membuat perlakuan bebal di bulan Ramadhan.
6) Dr Kamarul Zaman tidak membelanjakan wang untuk memuaskan egonya yang tidak memberikan imej yang baik terhadap Islam.
7) Dr Kamarul Zaman tidak bersungguh mencari kelemahan orang lain yang berbeza politik, bangsa dan agama dari beliau.
8) Dr Kamarul Zaman tidak meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman.
9) Dr Kamarul Zaman tidak bersifat jahat dan suka timbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
10) Dr Kamarul Zaman tidak berbohong dan menyebarkan fitnah.
Justeru, dengan ini Ahmad Zhafri menarik balik segala dakwaan yang telah dibuat terhadap Dr Kamarul Zaman, dan memadamkannya daripada laman Facebooknya serta berjanji untuk tidak membuat apa-apa tuduhan yang seumpama itu terhadap diri beliau pada masa hadapan.
“Saya juga memohon maaf atas kecederaan, kehilangan dan mudarat pada diri Dr Kamarul Zaman secara peribadi dan pada reputasinya dalam kapasiti peribadi dan profesional beliau serta atas kesusahan dan kegelisahan yang dialami oleh beliau ekoran daripadanya.
“Saya sesungguhnya menyesali keterlanjuran saya tersebut dan mengakui membuat status-status tersebut dalam keadaan kekurangan maklumat yang ada di samping terpengaruh dengan bacaan di portal-portal berita dan status-status media sosial yang berkait dengan beliau,” katanya. – Malaysiapost

