AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan mempermudahkan permohonan keluarga yang bekerja untuk mendapatkan pembantu rumah pasca pandemik Covid-19.
Beliau berkata, semenjak pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia bermula Mac 2020, ramai keluarga terpaksa bergelut dengan perubahan dalam kehidupan mereka.
“Sekolah ditutup, SOP bekerja dari rumah diperkenalkan dan sempadan ditutup. Perancangan untuk ke luar negara dihentikan. Ramai ibu bapa muda menghadapi cabaran mengurus kelas secara dalam talian untuk anak-anak mereka, memasak dan dalam masa yang sama menghadiri mesyuarat kerja menerusi dalam talian.
“Malah banyak kontrak untuk pembantu rumah tamat semasa tempoh ini dan ramai majikan tidak dapat mencari pengganti disebabkan pintu sempadan ditutup dan fee yang naik mendadak.
“Oleh hal demikian, banyak agensi yang menawarkan pembantu rumah tidak mampu bertahan atau meneruskan operasi mereka semasa tempoh tersebut apabila tiada pendapatan untuk membayar gaji. Banyak agensi ini terpaksa ditutup,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Hannah memaklumkan, sebelum PKP dilaksanakan, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia telah menganggarkan lebih kurang 5,000 permohonan sebulan bagi mendapatkan pembantu rumah.
“Namun, semenjak PKP, dianggarkan 10,000 hingga 20,000 keluarga yang masih menunggu sempadan dibuka semula untuk pembantu rumah yang baharu dibenarkan memasuki Malaysia.
“20,000 keluarga ini adalah rakyat Malaysia yang bekerja dan terdesak untuk mendapatkan pembantu di rumah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan untuk membantu para majikan dengan membuka semula sektor ini dengan segera dan membenarkan pembantu rumah baharu memasuki Malaysia dengan selamat tertakluk kepada status vaksinasi mereka, ujian saringan dan arahan kuarantin.
“Selain itu, kerajaan perlu menyelesaikan isu MOU yang tertunggak dengan negara terbabit dan menyediakan sistem permohonan yang lebih pantas untuk mengurangkan masa menunggu yang lama bagi mendapatkan pembantu rumah yang baharu,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan menang-menang ini akan membantu kutipan levi atau pendapatan kerajaan sekali gus dapat membanteras aktiviti haram atau permerdagangan pembantu rumah.
“Kita mesti melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan yang telah sedia rendah selama ini dan jangan pula semakin berkurangan akibat kekurangan sistem sokongan di rumah.
” Setiap hari adalah penting buat keluarga yang bekerja ini untuk mengekalkan pekerjaan mereka dan menyediakan penjagaan untuk ahli keluarga mereka yang tersayang di rumah,” katanya. – Malaysiapost

