PLATFORM media sosial, Facebook kini dikenali sebagai Meta.
Pengasasnya, Mark Zuckerberg berkata, penjenamaan semula tersebut menfokuskan kepada segmen dunia meta atau ‘metaverse’, iaitu persekitaran maya perkongsian yang akan menjadi pengganti kepada internet mudah alih.
Beliau turut memaklumkan semua aplikasi di bawah Meta iaitu Facebook, Messenger, Instagram dan beberapa platform lain kekal beroperasi seperti biasa.
Zuckerberg berkata, bahawa nama baharu itu perlu kerana organisasi berkenaan tidak hanya bergantung kepada Facebook saja, sebaliknya akan mengendalikan banyak platform lain.
Katanya, dunia meta tersebut akan menjadi evolusi baharu Internet.
“Sudah tiba masanya untuk kami mengguna pakai jenama syarikat baharu bagi merangkumi semua yang kami lakukan, mencerminkan siapa kami dan apa yang kami harap untuk bina.
“Misi kami kekal sama. Ia masih mengenai menyatukan orang ramai. Aplikasi kami dan jenama kami, ia juga tidak berubah dan kami masih syarikat yang mereka bentuk teknologi di sekeliling,” katanya.
Dalam pada itu, Zuckerberg turut memberi gambaran melalui video bagi menyampaikan mengenai aplikasi Meta.
Menerusi video tersebut, memaparkan dunia meta yang akan mengubah cara pengguna berinteraksi antara satu sama lain. – Malaysiapost

