Pengguna boleh bayar tanpa caj 50 sen melalui platform lain – Annuar

0
1

[PARLIMEN] POS Malaysia Bhd (Pos Malaysia) mula mengenakan caj 50 sen bagi pembayaran bil Astro di kaunter mereka pada 1 September lalu, kerana mengambil kira kenaikan kos operasi sekali gus membolehkan syarikat itu meningkatkan kualiti perkhidmatannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu juga telah dipersetujui secara komersial antara Astro dan Pos Malaysia.

Katanya, terdapat beberapa platform yang disediakan Astro, sekiranya pengguna perkhidmatan penyiaran mahu melakukan pembayaran bil tanpa sebarang caj perkhidmatan.

“Antaranya perkhidmatan Auto Debit yang memerlukan pelanggan mendaftar melalui Self-Service Portal atau di Pusat Khidmat Pelanggan Astro.

“Kedua, menerusi platform Astro Quick pay, portal Astro Self-Service, Saluran Astro 200 dan aplikasi My Astro serta platform JomPAY.

“Selain itu, pembayaran menggunakan kad debit dan kad kredit melalui kaunter di Pusat Khidmat Pelanggan Astro termasuk pembayaran melalui bank-bank tempatan menerusi platform ATM, perbankan online, perbankan SMS, kaunter bank, ejen bank berdaftar, mesin deposit wang dan mesin deposit cek,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, secara umum sejak Januari 2021, caj perkhidmatan 50 sen bagi pembayaran bil Astro telah dilaksanakan oleh ejen pembayaran Astro, cuma Pos Malaysia sahaja yang baharu mengenakan caj sama pada awal September lalu.

Annuar menjawab persoalan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto yang menyatakan mengapakah RM0.50 dikenakan sebagai caj sebagai komisen oleh Pejabat Pos kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di Pejabat Pos.

Beliau turut memaklumkan Pos Malaysia telah dikorporat pada tahun 1992 dan kemudian disenarai di Bursa Malaysia pada tahun 2001 dan kini adalah anak syarikat kepada Kumpulan DRB-HICOM Berhad.

Katanya, selain menyediakan perkhidmatan pos asas, Pos Malaysia mengembangkan aktiviti perniagaannya dan kini merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan e-Dagang bersepadu yang terulung di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here