‘BN kena kompaun, tapi PN?’ – Shabery

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu tindakan kompaun yang dikenakan terhadap Barisan Nasional (BN) berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) turut diambil terhadap Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, perkara itu penting kerana tindakan yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap BN disifatkan sebagai satu bentuk komunikasi kepada rakyat.

Katanya, sekiranya KKM ingin menunjukkan ketegasan dalam tindakan maka ia perlu dilaksanakan dengan adil bagi mengelak kekeliruan dan kemarahan pihak tertentu.

“Politik perlukan berkomunikasi. Tindakan terhadap mereka (BN) pun adalah suatu bentuk komunikasi kepada rakyat.

“Kalau isyaratnya nak tunjuk tegas, biar tegas dengan semua. Kalau tindakan tak sama (kompaun), pastinya boleh mendatangkan kekeliruan dan kemarahan,” tulisnya ringkas di Facebook.

Dalam hantaran itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut menyertakan dua gambar untuk membandingkan suasana majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka BN di WTCKL malam tadi, sementara PN dianjurkan di sebuah hotel baru baru ini.

Terdahulu, media melaporkan BN dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengadakan majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.

KKM menerusi satu ciapan di Twitter, tengah malam tadi memaklumkan kompaun bernilai RM10,000 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kepong kerana penganjuran majlis didapati melanggar Akta 342.

KKM turut memuat naik salinan surat kompaun yang dikeluarkan kepada BN itu yang mengadakan majlis berkenaan di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here