PRN Melaka: Perhalusi mekanisme SOP, elak kekeliruan – Wan Saiful

0
1
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan

KETUA Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan meminta pihak berkuasa memperhalusi mekanisme pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengelak kekeliruan.

Beliau berkata demikian merujuk situasi dalam lawatannya ke Melaka baru-baru ini apabila tindakan wartawan untuk bertanya soalan kepadanya dihalang pihak berkuasa.

“Ada sekumpulan wartawan yang datang bertanya soalan kepada saya. Tapi pihak berkuasa minta mereka bersurai.

“Sehingga para wartawan tertanya-tanya takkanlah mereka nak jalankan tugas pun tak boleh. Wartawan bukan berkempen.

“Mungkin kekeliruan ini berlaku kerana kita masih diperingkat awal. Kita berilah masa kepada pihak berkuasa untuk jalankan tugas mereka sebab ini adalah untuk kebaikan rakyat juga,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata, pihaknya memahami keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan SOP berkenaan demi menjaga kesihatan rakyat.

“Sebab itu dari awal lagi kita kesal dengan sikap politik berlebihan sesetengah pihak yang mahu rebut kuasa hingga memaksa pertukaran kerajaan dan pembubaran DUN.

“Mereka yang bergaduh rebut kuasa, rakyat pula yang susah. Tapi apa kan daya. Tindakan mereka menyebabkan pilihanraya terpaksa diadakan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, pihaknya juga akan berusaha memastikan rakyat mendapat maklumat tepat walaupun tanpa perhimpunan dan tanpa interaksi bersemuka.

“Media atas talian dan media cetak akan jadi platform utama kita dan kita akan sediakan aktiviti penerangan yang sesuai untuk mendekati pengundi,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Katanya, larangan itu ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here