BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan situasi Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan ‘bebas seperti orang tidak bersalah’.
Menurutnya, biarpun didapati bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram namun sepanjang kes rayuan Najib berlangsung bermula April tahun ini, Ahli Parlimen Pekan itu bebas bergerak dan kes juga tidak didengari kerana pelbagai alasan.
Katanya, Najib boleh hadir ke Dewan Rakyat, tetapi tidak ke Mahkamah kerana menggunakan alasan sakit.
“Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib. Tetapi keputusan ditangguh. Sudah enam bulan berlalu. Mahkamah belum buat keputusan. Sekarang banduan ini dibenar ke Singapura. Peguam Negara tidak bantah.
“Najib ubah tarikh (pergi ke Singapura) kerana dipilih oleh Umno sebagai pengurus dalam pilihan raya Melaka. Ini juga dilulus,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dr Mahathir berkata, sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman ke atas Najib, sudah pasti rayuan akan diteruskan ke Mahkamah Persekutuan dan berkemungkinan akan mengambil masa sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Jelas beliau, apabila tiba PRU itu, dan Mahkamah Persekutuan masih belum membuat keputusan tentang Najib, sudah pasti beliau dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.
“Rakyat tentu berbangga. Curi RM10 masuk penjara serta merta. Curi RM1 billion boleh lepas dari penjara.
“Ramailah penyangak dan perasuah sekarang bebas menjelajah seluruh dunia sementara hukuman ditangguh atau pertuduhan dibatal,” katanya. – Malaysiapost

