‘Dedah individu dalam kerajaan, 1MDB terima sogokan bekas pegawai Goldman Sachs’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tindakan diambil terhadap individu dalam kerajaan dan syarikat 1MDB yang menerima sogokan daripada bekas pegawai tertinggi Goldman Sachs.

Najib menerusi kenyataan hari ini, menjelaskan beliau telah membuat laporan SPRM supaya bekas Pengerusi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner disoal siasat pihak berkuasa atau mengekstradisi bekas pegawai tertinggi Goldman Sachs itu.

“Saya amat pelik kenapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Tim Leissner sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta gantirugi sehingga RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

“Sebab itu, saya dinasihat dan terpanggil untuk membuat laporan SPRM hari ini terhadap Tim Leissner supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal, membawa balik beliau atau meminta senarai nama dari DOJ agar nama-nama ini didedahkan secara umum dan tindakan yang sewajarnya boleh diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Bank Goldman Sachs dilantik oleh Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum beliau menjadi Perdana Menteri dan sebelum ia dipindah ke Kerajaan Persekutuan dan ditukar nama menjadi 1MDB.

“Pada tahun 2020, pengurus kanan Goldman Sachs, Tim Leissner telah mengaku salah di mahkamah bahawa beliau pernah menyogok beberapa individu dari syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia yang nama-namanya tidak didedah secara umum.

“Akibatnya, syarikat Goldman Sachs bersetuju untuk membayar gantirugi sebanyak US$3.9 bilion bersamaan dengan RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia tahun lepas,” katanya.

Najib menambah, pada awal tahun ini, pasukan peguamnya telah berjaya memenangi kes di Amerika Syarikat untuk mendapat senarai nama dalam pengakuran Tim Leissner yang telah disogok beliau.

Namun, Najib berkata, kerajaan Amerika Syarikat melalui DOJ telah membantah keputusan mahkamah Amerika Syarikat dan telah menghalang nama-nama tersebut didedahkan.

“Pada masa itu, seorang peguam dari syarikat guaman terkenal Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa senarai nama tersebut adalah bukti “exculpatory” atau “exculpatory evidence” yang boleh membersihkan nama saya sebagai terlibat dalam penipuan 1MDB.

“Susulan itu, pada pertengahan tahun ini, barisan guaman saya juga pernah meminta mahkamah dan pihak pendakwaan untuk mendedahkan senarai nama tersebut tetapi usaha kami tidak kesampaian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here