PRN Melaka: Keputusan guna lambang PN perlu dirujuk badan pemutus PAS

0
1

PENGGUNAAN Lambang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepatutnya perlu dirujuk semula kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, berkata beliau meneliti keputusan Mesyuarat PN kelmarin yang memutuskan PN termasuk juga PAS akan mengguna lambang gabungan itu dalam PRN Melaka.

“Bagaimanapun saya menyarankan supaya keputusan tersebut hendaklah dikembalikan kepada parti masing-masing untuk parti-parti tersebut membuat keputusan bersetuju atau tidak dengan apa yang Mesyuarat PN telah putuskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai badan pembuat keputusan perlu diberi peluang untuk membincangkan keputusan penggunaan lambang PN tersebut.

Katanya, apatah lagi perkara penggunaan lambang dalam pilihan raya termasuk dalam Fasal 81 Perlembagaan PAS.

“Jelas berdasarkan fasal tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merupakan badan pemutus bagi pihak PAS berkaitan dengan penggunaan lambang dalam pilihan raya, justeru keputusan Mesyuarat PN perlu dikembali kepada PAS sebelum ia dimuktamadkan.

“Penggunaan lambang dalam pilihan raya adalah berkaitan perkara prinsip dalam PAS yang perlu dibincangkan hukumnya oleh Majlis Syura Ulama (MSU).

” (Ini) disebabkan ia berkaitan dengan Amal Islami yang dilakukan oleh ahli-ahli parti. Perkara seumpama ini pernah timbul dalam satu konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kira-kira 10 tahun yang lalu, diadakan di Tropicana, Petaling Jaya,” katanya.

Jelasnya, konvensyen berkenaan bersetuju supaya parti-parti komponen PR mengguna satu lambang (iaitu setelah PR didaftarkan) bagi menghadapi Pilihanraya Umum pada ketika itu.

“Seorang wakil PAS, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili MSU) bangun dan menyarankan supaya PAS meminta tempoh sebelum memtuskan perkara itu.

“Ini kerana bagi ahli-ahli PAS mereka diberi panduan, bahawa bekerja dalam sesuatu pilihan raya tidak terpisah dari bebanan taklif yang ada justifikasi dosa dan pahala’,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengertian lain, penggunaan sesuatu lambang bukan hanya perkara berkaitan strategi tetapi juga berkaitan dengan prinsip.

“Mekanisme yang sama turut diamalkan oleh Muafakat Nasional (MN), di mana semua yang diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN harus dikembalikan kepada parti masing-masing untuk dibuat keputusan selanjutnya.

“Sehubungan itu, saya menyarankan supaya PN memberi ruang kepada badan-badan pemutus di dalam PAS membuat pendirian untuk penggunaan lambang PN tersebut,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Bersatu, PAS dan GERAKAN sepakat untuk bertanding PRN Melaka menggunakan lambang PN.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas yang diadakan pada kelmarin.

Muhyiddin memaklumkan mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan PRN Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here