PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin politik negara lebih matang pada masa depan dengan ahli politik terutama generasi muda bersatu padu memajukan Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berpendapat harapan masih ada untuk melihat situasi politik negara yang ketika ini agak kurang stabil kembali pulih atau lebih baik pada masa depan.
Menurutnya, peluang untuk ahli-ahli politik kembali bersatu padu masih ada dan beliau optimistik tentang perkara itu.
“Saya tidak fikir situasi sekarang ini dengan keadaan politik yang tidak stabil ditambah dengan pandemik Covid-19 akan berpanjangan
“Akan sampai satu tahap di mana ada sedikit kesedaran baru. Peranan umum masyarakat tidak akan membuatkan situasi sebegitu berterusan kerana mereka ada hak menentukan masa depan mereka
“Maka kita akan balik semula kembali kepada situasi yang agak lebih stabil lebih menyakinkan,” katanya dalam program secara langsung di laman Facebook Garasi TV, malam ini.
Beliau berpendapat imej ahli-ahli politik juga tidaklah serendah yang disangkakan masyarakat ketika ini kerana jika bukan kerana ahli politik maka ke mana hala tuju negara pada masa depan.
“Siapa yang nak membentuk kerajaan, siapa yang nak memimpin negara?
“Tahap kematangan politik di beberapa negara maju juga sudah agak berbeza sedikit, ramai pemimpin yang naik jadi Perdana Menteri berusia 30-an sahaja.
“Dan saya kira Malaysia akan sampai ke tahap itu di mana pimpinan pada masa depan adalah anak-anak yang sudah terdidik dengan latar belakang yang baik,” katanya.
Menurutnya, akan ada kumpulan anak-anak muda yang akan membina budaya politik yang lebih matang dan baik pada masa depan. – Malaysiapost

