MUDA dikompaun RM4,000 adakan sidang media di Melaka

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengkompaun mereka sebanyak RM4,000 kerana mengadakan sidang media di Bandar Hilir, Melaka, hari ini berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung Penajanya Amira Aisya Abd Aziz, mendakwa mereka dikompaun walaupun sidang media hanya membabitkan lima orang sahaja dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebentar tadi MUDA ada menjalankan satu sidang media khas untuk menyatakan kesediaan dan hasrat kami untuk memasuki PRN Melaka.

“Sebelum sidang media khas tersebut, semalam seorang daripada MUDA sudah pun membuat panggilan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan bertanya adakah kami boleh menjalankan satu sidang media.

“Kami diberitahu boleh jalankan sidang media asalkan jaga SOP,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pada hari ini sebelum sidang media itu berlangsung juga, mereka juga berjumpa dengan penguatkuasa dan diberitahu perkara sama iaitu harus mematuhi SOP ditetapkan.

“Tetapi selepas sidang media berakhir, salah seorang rakan kami telah ditarik ke IPD dan dikompaun. Kompaun yang dikenakan bukan jumlah yang sedikit tetapi RM4,000.

“Kompaun RM4,000 dikenakan kepada anak muda yang ingin menyertai PRN Melaka. Kami bukan nak marah kepada penguatkuasa tetapi kami ingin persoalkan apakah sistem dua darjat yang sudah terjadi pada hari ini,” katanya.

Amira mendakwa tindakan pihak berkuasa jelas memperlihatkan sistem dua darjat sedang berlaku apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini dibenarkan mengadakan ceramah secara besar-besaran dengan kehadiran ramai orang dalam sebuah dewan tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Apabila Datuk Seri Najib turun buat ceramah besar-besaran punya ramai orang dalam dewan, punya ramai orang bersesak menyanyi lagu Gemuruh Jiwa dan sebagainya.

“Adakah beliau dikenakan kompaun? Adakah Barisan Nasional (BN) dikenakan kompaun apabila mereka tidak tepati SOP yang telah ditetapkan,” soalnya.

Beliau mempersoalkan kenapa pihak MUDA yang hanya lima orang mengadakan sidang media yang dijalankan di tempat awam dikenakan kompaun RM4,000.

“Budaya dua darjat inilah yang kami ingin lawan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here