KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati tahap acrylamide dalam produk biskut di Malaysia berada di bawah paras yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemantauan dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi produk biskut di pasaran tempatan mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 mikrogram per kilogram (µg/kg).
Menurutnya, ia berada di bawah paras ditetapkan EU iaitu 350 µg/kg.
“BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glycidol melalui pengambilan biskut adalah rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan oleh CHOICE Magazine di dalam laman web Majlis Pengguna Hong Kong berkaitan 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut, yang dijual di pasaran Hong Kong mengandungi acrylamide dan glicydol.
Antara jenama yang disenaraikan termasuk dalam laporan itu adalah jenama biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.
Dr Noor Hisham berkata, menurut Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), acrylamide dan glicidol adalah bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia.
“Acrylamide adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan, namun bahan pencemaran tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu-isu berkaitan keselamatan makanan,” katanya. – Malaysiapost

