MITRA: SPRM tahan 16 pengarah syarikat

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 pengarah syarikat kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan jutaan ringgit melibatkan peruntukan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Semua individu terbabit berusia antara 24 tahun dan 68 tahun dikaitkan dengan agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan ditahan dalam operasi besar-besaran sekitar Lembah Klang semalam, lapor Berita Harian.

Kesemua meraka dihadapkan Ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi bagi proses reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan siasatan dijalankan mengikut seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan penahanan mereka.

Sementara itu akhbar itu melaporkan satu sumber mendedahkan, SPRM kini menjalankan siasatan berhubung kira-kira 60 peratus daripada peruntukan geran yang diberikan melalui MITRA tidak sampai kepada kumpulan sasaran sepatutnya.

Ketika ini, dianggarkan MITRA memperoleh bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Kata sumber, puluhan juta dilesapkan oleh kumpulan terbabit, yang asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran disalurkan MITRA bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, siasatan SPRM mendapati tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here