Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berhubung hantaran di Facebook bekas Ketua Puteri Umno itu yang menyentuh aksi Manchester United menentang Liverpool malam tadi.
“Penyokong setia MU tak tiba-tiba lompat jadi fans Liverpool sebab kalah,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi Facebooknya pagi ini.
Najib sememangnya dikenali sebagai peminat setia Manchester United dan malam tadi beliau memuat naik hantaran ringkas di Facebook yang menyatakan beliau ‘tutup tv awal’ sejurus The Red Devils ketinggalan.
Pagi tadi, Mas Ermieyati menulis di Facebooknya seakan menyindir Najib susulan kekalahan Manchester United.
“Pagi ni bangun tengok keputusan 5-0. Hebat betul Liverpool. Ingat Ronaldo je koyak, DSN (Datuk Seri Najib) pun semalam tutup tv awal. Yang faham-faham.
“Cuma nanti PRN (Pilihan Raya Negeri) di Masjid Tanah, DSN dan tim janganlah balik awal. Bimbang-bimbang esok pagi bangun tengok keputusan pergi gym pun tak lalu. Agak-agak orang Masjid Tanah bagi berapa?
“Tak apa Dato Seri, Orang kata team sama merah. Menang bersama, kalah pun bersama. Tak gitu,” tulisnya.
Untuk rekod, dalam Perhimpunan Agung Umno 2017, Mas Ermieyati mencadangkan supaya Umno menggunakan laungan semangat Liverpool, ‘You will never walk alone’ bagi mendepani cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini kerana menurutnya, laungan itu menunjukkan kesetiaan, kecekalan dan ketaatan Liverpool yang sentiasa bersama pasukan walaupun zaman kegemilangan sudah berlalu.
Bagaimanapun sejurus selepas BN tumbang dalam PRU14, Mas Ermieyati antara Ahli Parlimen Umno terawal melompat parti dan menyertai Bersatu.
Sementara itu ramai netizen turun menyindir Mas Ermieyati susulan hantaran di Facebooknya, antara lain menyatakan peminat United tetap setia dan tidak ‘melompat pasukan’ seperti mana bekas Ketua Puteri Umno itu. – Malaysiapost

