‘Jangan biarkan imej SPRM terus tercalar’ – Puad

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan sesuatu demi memelihara intergriti suruhanjaya itu yang terpalit dengan pelbagai isu sejak kebelakangan ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan perlu dilaksanakan segera untuk memastikan imej SPRM tidak terus tercalar.

Mohd Puad juga merujuk beberapa kes membabitkan pegawai SPRM termasuk kes viral dua pegawai suruhanjaya itu yang lari ‘lintang pukang’ selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baharu kerana kes menipu.

“Jangan biarkan imej SPRM semakin tercalar, viral video dua pegawai SPRM lari lintang pukang masuk kereta selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baharu kerana kes menipu.

“Mereka tidak pakai baju oren pun macam orang lain. Kalau orang lain, dengan muka muka sekali akan dirakam bebas oleh media,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, sebelum ini akhbar Sin Chew Daily melaporkan seorang pegawai kanan SPRM Bahagian AMLA disiasat kerana mencederakan dan tidak membayar gaji pembantu rumahnya.

“Buatlah sesuatu untuk jaga integriti SPRM,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan, dua pegawai SPRM berlari laju keluar dari Mahkamah Sesyen selepas didakwa atas pertuduhan rasuah di Johor Bahru.

Kedua-dua tertuduh yang memakai topeng muka dan baju berhud itu berbuat demikian kerana tidak mahu wajah mereka dirakam jurugambar dan video wakil-wakil media.

Dalam kejadian kira-kira 12. 45 tengah hari itu, salah seorang daripada mereka juga terjatuh di tangga mahkamah.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa bagi menyerahkan RM40,000 untuk menyelesaikan kes dalam siasatan agensi berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here