
SEBANYAK 78 kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam di seluruh negara.
Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, 17 daripada jumlah itu membabitkan kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 mencecah 28,312 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,408,431 kes positif di Malaysia.
Manakala, jumlah keseluruhan kes BID meningkat kepada 5,718, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat Covid-19.
Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.
Terdapat 643 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.
Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 60.4 peratus, namun empat negeri masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus iaitu Sarawak (77.7 peratus), Kelantan (74.2 peratus), Perak (71.3 peratus), dan Putrajaya (70,0 peratus).
Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu dengan mencatat 320 kes setakat semalam, berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu. – Malaysiapost
