PPSM desak KPDNHEP batal kelulusan, lesen arak jenama Timah

0
2
Wakil KPDNHEP menerima memorandum daripada Semboyan Malaysia (PPSM) mengenai 'bantahan perihal dagangan arak jenama 'Timah' di pasaran tempatan' di pekarangan KPDNHEP Putrajaya hari ini.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) diminta membatalkan kelulusan atau lesen yang telah dikeluarkan ke atas syarikat pengeluar arak jenama Timah di pasaran tempatan.

Perkara itu dikemukakan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menerusi memorandum bantahan yang dihantar kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Menurut Pengerusi PPSM, Muhamad Yusuf Azmi, penggunaan, promosi dan iklan arak jenama Timah lazimnya merujuk kepada nama wanita Melayu Muslim dan imej lelaki berjanggut bertutup kepala seakan kopiah, umumnya suatu gambaran lelaki Melayu Muslim.

Pengerusi PPSM, Muhamad Yusuf Azmi

Katanya, ia boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna khususnya orang Islam sekali gus menyentuh sensitiviti kerana arak dan minuman beralkohol yang lain adalah haram bagi umat Islam.

“Apa-apa usaha pengiklanan dan mempromosi sesuatu yang haram bagi umat Islam menggunakan nama atau imej berkaitan agama Islam tidak boleh diterima, tidak boleh dibenarkan dan wajar ditentang sekeras-kerasnya.

“Tindakan undang-undang wajar diambil ke atas pihak yang menggunakan nama demikian dan promosi tanpa mengambilkira faktor sensitiviti agama Islam atau mana-mana agama.

“Sensitiviti umat Islam yang majoritinya adalah penduduk Malaysia adalah wajar dan perlu diambilkira semua pihak lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara itu berkaitan atau bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya.

Wakil KPDNHEP menerima memorandum daripada Semboyan Malaysia (PPSM) mengenai ‘bantahan perihal dagangan arak jenama ‘Timah’ di pasaran tempatan’ di pekarangan KPDNHEP Putrajaya hari ini.

Sehubungan Muhamad Yusuf berkata, KPDNHEP wajar memberi penilaian dan pertimbangan berkenaan isu yang sangat sensitif itu dan berharap pihak menteri dapat mengambil tindakan pantas dan tuntas.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum daripada PPSM mengenai ‘bantahan perihal dagangan arak jenama ‘Timah’ di pasaran tempatan’ kepada wakil KPDNHEP di pekarangan kementerian itu di Putrajaya hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here