Covid-19: ‘Situasi Malaysia lebih buruk dari Indonesia, KJ perlu jelaskan’

0
2

MALAYSIA masih tidak mampu menurunkan jumlah kes harian baharu Covid-19 bawah 5,000 untuk tempoh 19 hari sejak angka kes menurun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata semalam Malaysia merekodkan 6,210 kes baharu Covid-19 dengan 96 kematian sementara Indonesia merekodkan 633 kes baharu Covid-19 dengan 42 kematian.

“Ia satu pertiga kes baharu Covid-19 di Malaysia dan 45% daripada kematian harian baharu akibat Covid-19 di Malaysia, sedangkan jumlah penduduk Indonesia adalah lapan ganda lebih ramai berbanding Malaysia.

“Adakah sistem kesihatan awam Malaysia begitu teruk dan menyedihkan jika dibandingkan dengan Indonesia? Adakah (Menteri Kesihatan) Khairy (Jamaluddin) tidak mempunyai sebarang penjelasan mengenai perkara ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Khairy perlu menjelaskan mengapa dalam tempoh 53 hari sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan, Malaysia mempunyai jumlah jangkitan dan korban Covid-19 lebih tinggi berbanding Indonesia.

“Pada 30 Ogos, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,725,357. Semalam, angka itu meningkat sebanyak 688,235 kes kepada 2,413,592 kes.

“Pada 30 Ogos, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Indonesia pula adalah sebanyak 4,079,267 kes. Semalam, angka itu meningkat sebanyak 158,567 kes kepada 4,237,832 kes,” katanya.

Kit Siang berkata, ini bermakna sepanjang 53 hari Khairy menjadi Menteri Kesihatan, Malaysia merekodkan lebih setengah juta kes lebih banyak berbanding Indonesia.

“Namun, masalah ini bukan sahaja membabitkan kes baharu Covid-19, ia juga membabitkan angka kematian akibat Covid-19.

“Pada 30 Ogos, kes kematian terkumpul akibat Covid-19 adalah sebanyak 15,382. Angka ini meningkat sebanyak 11,852 kepada 28,234 semalam,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan Khairy agar tidak hanya sekadar menjadi Menteri Kesihatan yang lebih baik berbanding sebelumnya, tetapi menunjukkan prestasi baik mengurus Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here