Pulau Batu Puteh: ‘Keputusan ICJ muktamad, Mahathir bohong’ – Puad

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad berbohong mengenai dakwaan keputusan kehakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes Pulau Batu Puteh adalah muktamad.

Sebaliknya, Mohd Puad berkata, bekas Perdana Menteri itu yang membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berkaitan kes kedaulatan pulau tersebut.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas beberapa hari sebelum kes tersebut dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018, ketika Dr Mahathir mentadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Akhirnya Tun M bersuara juga isu Pulau Batu Puteh. Tetapi dia tidak jawab soalan pokok. Kenapa senyap-senyap batalkan permohonan semakan kehakiman?

“Bagaimanapun, Mahathir kata keputusan ICJ muktamad. Dia bohong. Artikel 61 Statute of the International Court of Justice (Art.61) beri kebenaran buat semakan kehakiman dalam tempoh 10 tahun.

“Sebab itu pada 2 Febuari 2017 Malaysia memfailkan permohonan semakan kerana menemui bahan bukti baru.

“Tindakan Malaysia betul kerana ICJ tetapkan 11 Jun 2018 tarikh pendengaran. Malangnya Tun M arah batalkan permohonan semakan tersebut secara senyap sehingga tempoh 10 tahun itu luput,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berharap penubuhan pasukan petugas khas ditubuhkan segera bagi mengupas sekali gus menyelesaikan kemelut isu Pulau Batu Puteh ini.

“Semoga Pasukan Petugas Khas akan merungkai misteri ini. Segerakan penubuhannya,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir buat pertama kali ‘membuka mulut’ berhubung isu Pulau Batu Puteh selepas kerajaan memutuskan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu itu baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, negara yang bermaruah perlu menghormati janji dan hanya negara yang tidak bermaruah memungkiri janji.

“Kita terus berunding, tetapi tidak menghasilkan apa-apa keputusan. Kita dan Singapura kemudian bersetuju untuk merujuk kepada ICJ

“Tetapi, untuk tujuan itu kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tiada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here