MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh yang meninggal dunia di Hospital Besar Melaka, awal pagi tadi.
Reezal Merican berkata, jasa, bakti dan pengorbanan Allahyarham tidak terbalas dan mendoakan Mohd Diya diletakkan bersama orang-orang beriman.
“Jenazah kini masih berada di Hospital Besar Melaka. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jasa, bakti dan pengorbanan yang tidak terbalas.
“Semoga Allah Taala mengurniakan ganjaran sebaiknya dan mengangkat darjat Allahyarham bersama orang-orang soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa sedih dan berat hati apabila dimaklumkan perkhabaran itu.
Terdahulu, media melaporkan, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas ketika melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat semalam, meninggal dunia hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain, berkata anggota terbabit Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Diya Che Jusoh, 46, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.
Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 3.11 pagi tadi dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, kira-kira 10 pagi. – Malaysiapost

