Idris serah nasib pada PH dalam PRN Melaka

0
1

EMPAT bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang bertindak menarik sokongan hingga tumbangnya kerajaan negeri, menyerahkan ‘nasib dan nyawa politik’ mereka kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, berkata meskipun faham mengenai perubahan budaya dalam politik, mereka akan tetap bersama PH dengan menyerahkan nasib politik mereka pada masa depan.

“Saya dan rakan-rakan bagai ‘orang mendatang’, kami tidak mahu jadi `melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang’.

“Kami faham parti ini sudah ada orang (calon PRN). Kami tidak mahu berbicara mengenainya, kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan ahli PKR Melaka bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Ini kali pertama Idris berdiri di pentas PH untuk berucap selepas mengumumkan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri Melaka yang diterajui Umno, tumbang.

Tiga lagi bekas ADUN yang turut serta adalah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor).

Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau bersama tiga rakannya itu belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju politiknya, meskipun mendakwa pernah menerima beberapa lamaran’ daripada parti komponen PH sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, semangatnya untuk terus berjuang dalam politik semakin membara selepas menjalinkan kerjasama dengan PH sejak hampir dua minggu lalu.

“Suasana dalam dewan tadi membuktikan mereka menerima saya. Apabila saya bangun dan mendapat sokongan macam itu, saya rasa saya dah mula berada dalam keluarga besar PH.

“Tak ada sebarang cemuhan, boo (jeritan) atau tuduhan (ke atas saya) sebagai pengkhianat, tiada di sebelah sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata kehadiran empat bekas ADUN berkenaan adalah atas jemputan pihaknya.

“PH Melaka cuba bina `khemah besar’ dalam perjuangan ini dan kehadiran mereka memberi semangat kepada kami untuk merealisasikannya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here