SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sukacita apabila dimaklumkan 85 peratus rakyat negeri itu sudah divaksin sepenuhnya.
Menerusi kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, baginda menzahirkan kegembiraan itu selepas berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, semalam.
Dalam pertemuan itu, baginda turut diberi taklimat oleh Khairy mengenai perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 khususnya di Selangor.
“Baginda sukacita apabila dimaklumkan bahawa peratusan rakyat Selangor yang telah divaksin sepenuhnya kini mencecah 85 peratus.
“Yang Berhormat Khairy turut menyampaikan laporan terkini mengenai isu antivaksin dan tindakan yang sedang diambil oleh pihak kementerian,” menurut kenyataan itu, semalam.
Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Menurut kenyataan itu, baginda dan Khairy turut membincangkan kepentingan penambahan fasiliti geriatrik di hospital bagi menampung peningkatan populasi warga emas.
“Baginda turut menyarankan agar tumpuan dan pelan jangka pendek turut diberikan kepada penyediaan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang berkualiti serta lebih meluas khususnya di Selangor,” katanya. – Malaysiapost

