
SUSULAN kenyataan tegas Khairy Jamaluddin yang tidak mahu kumpulan antivaksin ‘hidup senang’, Menteri Kesihatan itu diserang kumpulan berkenaan dengan tuduhan ‘tidak masuk akal’ di platform-platform media sosial.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Rembau itu tetap tenang dan menjawab tuduhan-tuduhan berkenaan dengan nada sarkastik.
Khairy memuat naik dua tangkap layar perbualan kumpulan antivaksin di Telegram ke InstaStory di Instagram miliknya hari ini.
Pada salah satu tangkap layar itu, terdapat ahli kumpulan terbabit menuduh beliau memakai tangkal daripada empat jenis jin untuk melindungi dirinya.

Khairy dengan selamba menjawab, beliau menggunakan empat jenis jin vaksin iaitu Pfizer, Astrazeneca, Sinovach dan juga Cansino untuk melindungi Malaysia.
Manakala, satu lagi tangkap layar yang dimuat naik Khairy mengandungi mesej yang meminta orang ramai membacakan qunut nazilah untuknya dan sekutu-sekutunya.
Untuk info, qunut nazilah adalah doa yang dibaca semasa solat ketika sesuatu bencana seperti kemarau, wabak dan peperangan berlaku.
Bagaimanapun, Khairy tidak melenting dan hanya menulis kapsyen dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud, “Antivaksin meningkatkan permainan mereka sahaja.”

Semalam, Khairy menegaskan, meskipun vaksin tidak diwajibkan, namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.
“Kita akan ‘menyusahkan’ hidup kumpulan antivaksin supaya mereka berterusan tidak dibenarkan menikmati apa-apa kelonggaran seperti individu lengkap vaksinasi,” katanya. – Malaysiapost
