Kerajaan fokus pelajar luar bandar B40 – PM

0
1

SERAMAI 69 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32, Triang, Pahang menerima peranti komputer melalui Program CERDIK, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penerima adalah sebahagian daripada 1,093 pelajar dalam Parlimen Bera yang terpilih menerimanya.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelajar luar bandar khususnya dari golongan B40.

“Ia dalam usaha memastikan mereka mampu meraih keputusan cemerlang dalam pendidikan, kerajaan telah mengagihkan peranti digital kepada golongan berkenaan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, menerusi program itu, 90 peratus daripada penerima adalah pelajar daripada kumpulan B40.

Katanya, dalam cabaran teknologi dunia yang serba canggih ditambahkan pula kemelut pandemik Covid-19, peranti komputer adalah sangat penting.

“Ia bagi memudahkan pembelajaran dan meningkatkan mutu pemahaman pembelajaran harian khususnya pelajar luar bandar.

“Jadi, saya turut menekankan kepentingan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar melalui program JENDELA untuk meningkat jaringan komunikasi dan capaian internet, merangkumi proses pembelajaran yang lebih holistik, pantas serta dinamik,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang menerima peranti pada kali ini dan berharap keputusan semua pelajar di Bera akan terus cemerlang.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar warga pendidik mendapatkan dua dos vaksin bagi melindungi pelajar-pelajar sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here