JKMR akan nasihat PM berhubung aspek anti rasuah

0
1

JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) akan menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membabitkan beberapa aspek anti rasuah untuk diambil pertimbangan serius oleh kerajaan.

Pengerusinya Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat sulung JKMR, hari ini dan pertemuan dengan pemimpin negara itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, berkata JKMR mengambil maklum mengenai ketegasan Perdana Menteri berhubung pendirian anti rasuah, semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara.

Menurutnya, ia juga bersesuaian dengan mandat yang diberikan kepada jawatankuasa khas itu di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

“JKMR mengangkat ketetapan bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara yang penubuhannya akan dilunaskan dalam Majlis Mesyuarat Dewan Negara kali ini, akan bertanggungjawab mengenai anti rasuah di Malaysia.

“JKMR akan mengambil tanggungjawab mengenai anti rasuah di Malaysia sebagai urusan rasmi Parlimen sebagaimana dikuatkuasakan oleh Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan hal ehwal berkaitan dengan Kertas Pandora yang ditimbulkan akhir-akhir ini.

“Penelitian akan dibuat sama ada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara harus menimbang serta meneliti dari sudut kesahihan pendedahan terlebih dahulu serta hak-hak rakyat untuk mengetahuinya,” katanya.

Menurutnya, JKMR juga mengambil berat tentang hal ehwal pengendalian barang kes serta kaedah-kaedah lain di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya lebih telus dan terhindar dari salah guna kuasa dalaman.

“Selain itu menggesa agar pihak berkuasa mempercepatkan tindakan undang-undang membabitkan kes kehilangan barang kes bernilai USD6 juta (RM25 juta).

“JKMR juga memandang serius tentang imej SPRM dalam beberapa kes kebelakangan ini, termasuk membabitkan beberapa kes berprofil tinggi yang ditarik balik oleh Jabatan Peguam Negara.

“Penelitian terperinci mengenainya merangkumi lunas penyiasatan dan pendakwaan sedang diusahakan dengan pihak berkaitan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here