HUKUM menggunakan ‘Unknown Cash’ (UC) dalam permainan Player Unknown’s Battle Ground (PUBG), Mobile Legends dan Bang Bang (MLBB), untuk tikaman bagi membuka peti (crates) adalah haram.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan di laman webnya menjelaskan, ia mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana ada elemen ‘zero-sum’ game iaitu bergantung kepada nasib semata-mata.
Di samping itu, katanya, tikaman itu juga menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
“Bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut.
“Adapun UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.
Jelas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan lagi, dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak, pemain disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya.
“Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi dan lain-lain.
“Dalam masa sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman.
“Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti UC, Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.
“UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga berbeza-beza mengikut penyedia (Provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90.
“Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya.
“Kos dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.
“Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.
“Utamanya, pemain hanya bergantung 100 peratus terhadap hasil tikaman yang dibuat,” menurut kenyataan itu.
Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:
- Disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah (zero-sum game). -Malaysiapost

