LUAS kesan pencemaran air di Sungai Gong, Rawang

0
2

TINDAKAN pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden pencemaran air di Sungai Gong, Rawang berjaya mengelakkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, ditutup sekaligus tiada gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku.

Pencemaran membabitkan keadaan air sungai yang berbuih dan berbau seakan-akan sabun itu dikesan pada jam 11 pagi semalam, susulan insiden kebakaran melibatkan sebuah premis kilang gudang plastik di Sungai Bakau, Rawang.

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 3 pagi.

“Kerja-kerja memadam kebakaran selesai dijalankan pada jam 4 petang.

“Siasatan LUAS mendapati, air sisa pemadaman kebakaran tersebut telah memasuki aliran longkang yang berhampiran dan seterusnya ke Sungai Gong.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggaran jarak lokasi kejadian dengan muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 13 kilometer dengan tempoh masa 9 jam untuk pencemaran sampai.

Sementara itu, LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan telah meningkatkan inisiatif pencegahan dengan meletakkan tujuh beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Sembah juga dilaksanakan oleh LUAS.

“Sehingga jam 9.30 malam semalam pihak Air Selangor telah mengesahkan bacaan bau di LRA adalah sifar (0) ton dan tiada gangguan kepada operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3,” menurut kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here