
ORANG ramai masih perlu melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera walaupun ujian kendiri Covid-19 disahkan negatif.
Menurut KKM, maklumat tersebut penting bagi membolehkan pihaknya menentukan kadar positiviti harian wabak berkenaan di Malaysia.
“Walaupun hasil ujian kendiri negatif, anda juga perlu melaporkan kepada KKM menggunakan MySejahtera. Maklumat anda penting untuk menentukan kadar positiviti.
“Selepas selesai melakukan ujian kendiri, jangan lupa lupuskan alatan kit ujian dengan betul,” kata KKM menerusi hantaran di platform media sosial miliknya hari ini.
Berdasarkan infografik dikongsi KKM, bagi individu yang negatif Covid-19 selepas membuat ujian kendiri namun merupakan kontak rapat, mereka perlu teruskan kuarantin wajib sehingga tamat tempoh 10 hari.
Jika negatif namun bergejala, individu terbabit perlu teruskan kuarantin serta memantau tahap kesihatan, dan mendapatkan penilaian di fasiliti kesihatan jika gejala semakin teruk. – Malaysiapost
