Masuk guna lorong tikus, 14 PATI diusir pulang

0
1

SERAMAI 14 pendatang tanpa izin (PATI) diusir keluar oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), setelah cuba untuk memasuki Sarawak melalui lorong tikus di kawasan Tebedu dan Biawak, Lundu.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam satu kenyataan memaklumkan pengusiran pertama melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun yang cuba memasuki kawasan Malaysia dari Indonesia di Sektor Tebedu, pada jam 10.05 pagi, semalam.

“Kejadian kedua pula berlaku jam 5 petang pada hari sama di lorong tikus sekitar Biawak, Lundu melibatkan tujuh individu lelaki yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun dikesan cuba memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

“Manakala satu lagi kejadian penahanan lima individu berusia 24 hingga 47 tahun termasuk seorang wanita berlaku hari ini, pada jam 11 pagi juga di sekitar kawasan Biawak, Lundu.

“Ketiga-tiga kejadian melibatkan penahanan individu yang dipercayai PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk secara haram ke negara ini melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan darat antara Malaysia dan Indonesia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendapati tujuan mereka adalah untuk mencari pekerjaan pelbagai sektor di Sarawak.

“Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis berhampiran dan kesemua PATI yang ditahan telah diusir keluar pada hari yang sama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, melihat kepada situasi semasa yang sedang memasuki fasa endemik wabak Covid-19, kes-kes melibatkan PATI cuba masuk untuk mencari pekerjaan di Sarawak dilihat semakin meningkat.

“Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak – Kalimantan Barat senantiasa berwaspada dan beriltizam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here