
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 dibentangkan di Dewan Negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini bagi kelulusan.
Usul RMK-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara berjumlah RM400 bilion diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lalu selepas dibentang pada 27 September lalu.
Ia diluluskan tanpa sebarang pindaan dan seramai 106 Ahli Parlimen dari blok kerajaan serta pembangkang mengambil bahagian sepanjang sesi perbahasannya.
RMK-12 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Pelan berkenaan merangkumi sembilan fokus utama iaitu Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi; Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan; Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia; Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.
Fokus utama lain adalah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun; Mempercepat Pertumbuhan Hijau dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam; dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan. – Malaysiapost
