AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik memohon pertimbangan Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak kembali tarikh cuti akhir tahun sesi persekolahan 2021 dengan membuat pertambahan cuti sekurang-kurangnya satu minggu lagi.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, walaupun KPM memperuntukkan cuti akhir tahun selama tiga minggu, namun menjadi amalan sekolah memanggil para guru seminggu lebih awal untuk persediaan pembukaan sesi persekolahan.
Katanya, ketua jabatan sama ada pengetua atau guru besar dibenarkan untuk membuat persediaan tersebut.
“Justeru dengan penambahan cuti ini, guru-guru boleh pulang ke kampung halaman, terutama berkhidmat di Sabah dan Sarawak yang berasal Semenanjung atau guru di Semenanjung yang berasal dari Sabah dan Sarawak dengan lebih selesa dan berbaloi dari segi masa dan kos.
“Guru-guru boleh mempunyai msa untuk melaksanakan kuarantin kendiri sebelum bertugas secera rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Maszlee berkata, pelarasan cuti akhir tahun ini bagi memastikan guru benar-benar bersedia bertugas serta menjamin kesihatan guru bukan sahaja kesihatan fizikal malahan mental.
“Juga memandangkan sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga bulan Febuari 2021, saya menyeru Menteri Kanan Pendidikan dan KPM mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan hingga Februari tahun depan.
Ia bagi membolehkan KPM memastikan semua pelajar, khususnya yang ketinggalan bersedia untuk masuk ke kelas berikutnya.
Katanya, lanjutan itu bermakna semua pelajar akan kekal dalam darjah dan tingkatan masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan sebelum dibenarkan naik ke peringkat seterusnya bermula Mac 2022. – Malaysiapost

