Malaysia berpendirian AUKUS berpotensi mengganggu gugat keamanan, kestabilan di Asia Tenggara.

0
2

MESYUARAT Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) November ini akan membincangkan usaha mengukuhkan kerjasama pertahanan serantau termasuk isu pakatan keselamatan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau (AUKUS).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mesyuarat membabitkan 10 menteri pertahanan negara ASEAN yang dipengerusikan Brunei itu diharap dapat mencari persefahaman serantau terhadap isu AUKUS.

“Bulan depan ada ADMM dipengerusikan Brunei dan ini menjadi platform penting mengukuhkan kerjasama pertahanan di peringkat serantau.

“Pada masa sama, saya pasti AUKUS akan dibincangkan dengan harapan ia dapat mengukuhkan kesefahaman antara anggota ASEAN dalam pendirian terhadap perkara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai pendirian negara berhubung AUKUS dan soalan tambahan sama ada Malaysia akan memanfaatkan kerjasama pertahanan di peringkat ASEAN berhubung isu sama.

Menurutnya, pendirian Malaysia mengenai AUKUS tetap konsisten dimana pembentukan pakatan keselamatan itu menimbulkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

“Ia juga akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

“Malaysia tidak mahu diheret dalam geo-politik pertimbangan kuasa-kuasa besar di rantau ini. Sebagai sebuah negara ASEAN Malaysia mengekalkan prinsip ASEAN zon aman, bebas dan berkecuali,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya juga melakukan usaha dua hala dengan negara yang terbabit terutama Australia dalam pertemuan dan panggilan telefon baru-baru ini.

“Jadi, usaha secara dua hala telah saya usahakan dan akan berterusan, tetapi kita berpeluang pada ADMM di mana 10 menteri pertahanan ini akan berkumpul dan memikirkan kalau kita dapat bersetuju kepada satu pendirian bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here