PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengingatkan semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang dilantik syarikat produksi masing-masing untuk memastikan artis dan kru mematuhi garis panduan ditetapkan.
Unit Komunikasi Korporat Finas dalam kenyataan berkata, ia sebagai inisiatif bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 melibatkan industri perfileman yang menjalankan penggambaran.
“Penguat kuasa Finas telah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran.
“Ia bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penggambaran digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Finas telah menyalurkan maklumat dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Peringatan tersebut susulan terdapat isu tular di portal dan media sosial berhubung kes jangkitan Covid-19 melibatkan syarikat produksi di sebuah lokasi penggambaran.
Menurutnya, Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.
“Siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara,” katanya.
Finas berkata, pihaknya memandang serius berkenaan situasi tersebut dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu yang berbangkit demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara. – Malaysiapost

