KERAJAAN masih belum ada perancangan untuk membuat kajian menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula dalam tempoh terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia kerana tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan sebelum ini belum berakhir.
Menurutnya, urusan kajian semula persempadanan adalah tidak kurang lat atau selang lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian sebelumnya.
“Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya yang terbahagi kepada tiga unit berasingan.
“Unit-unit itu merangkumi Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung adakah cadangan kerajaan untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula susulan pertambahan pemilih pada suku ketiga 2021.
Menurutnya, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sarawak akan berakhir pada 2023, manakala Sabah pada 2025 dan Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026. – Malaysiapost

