Jawatankuasa khas lantik pakar patologi bantu siasat kes Adib

0
2

JAWATANKUASA Khas yang menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, akan melantik seorang pakar patologi kanan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pakar patologi itu akan menjalankan siasatan terperinci meneliti keputusan Mahkamah Koroner, dapatan siasatan polis serta maklumat lain membabitkan punca kematian anggota bomba terbabit pada 2018.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas itu berkata, pakar patologi berkenaan sudah diberikan tempoh khusus untuk menyelesaikan siasatannya dan mengemukakan laporan terperinci hasil dapatan itu.

“Kerajaan serius untuk menyelesaikan kes ini yang tertangguh sejak 2018. Jawatankuasa khas ini akan bermesyuarat lagi dalam tempoh sebulan, selepas menerima laporan daripada pakar patologi kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Wan Junaidi, bersama-sama ahli lain dalam jawatankuasa khas itu iaitu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengadakan mesyuarat pertama di Bukit Aman, untuk membincangkan kes berkenaan.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan perincian fakta dan kronologi kematian Muhammad Adib.

“Jelas ini bukan kes mudah untuk ditangani dan memerlukan pelbagai peringkat siasatan. Atas dasar itulah kami membuat keputusan untuk melantik seorang pakar patologi kanan bagi membantu kami dalam hal ini,” katanya.

Wan Junaidi berkata, tindakan selanjutnya akan ditentukan selepas menerima laporan berkenaan.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas mengenai kes kematian Muhammad Adib

Wan Junaidi berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keadilan serta mereka yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib dibawa ke muka pengadilan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here