AHLI Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mempunyai kemampuan tersendiri dalam melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata sekiranya Ramli terpilih ia adalah dimensi baharu dalam politik negara dan institusi Parlimen.
Katanya, ia sekali gus memberi pengiktirafan kepada masyarakat Orang Asli memandangkan beliau individu pertama dari kelompok berkenaan yang dicalon untuk menjadi Timbalan Speaker.
“Sekiranya ia berlaku, ini merupakan dimensi baru dalam politik negara dan institusi Parlimen kita.
“Bukan sahaja pengiktirafan kepada masyarakat yang diwakilinya, YB Ramli Mohd Nor sememangnya ada kemampuan tersendiri dalam melaksanakan tugasnya,” katanya menerusi Facebook.
Shabery berkata, untuk menjawat jawatan berkenaan individu yang dilantik mesti mempunyai ketahanan mental, keupayaan mendengar dan menyimpulkan perbahasan.
“Paling penting faham semua peraturan. Disiplin dan mendisiplinkan. Semoga berjaya,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Umno bersetuju mencalonkan Ramli sebagai calon baharu parti itu untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
“Ini suatu rekod sejarah baharu, Ramli bakal menjadi Orang Asli yang pertama dicalon untuk menjadi Timbalan Speaker.
“Hari ini (semalam) merupakan hari terakhir untuk cadangan nama Timbalan Speaker, sebelum sidang yang bakal berlangsung pada sesi Parlimen 25 Oktober,” katanya. – Malaysiapost

