Saya bahagia dengan isteri dan anak-anak- Ahmad Faizal

0
1

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau bahagia dengan isteri dan anak-anaknya, sekali gus menafikan dirinya bernikah dengan selebriti terkenal, Erra Fazira.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, menjelaskan perkara itu dalam Dewan Negara, hari ini selepas diajukan soalan oleh Senator Datuk Razali Idris mengenai gosip mula tersebar sejak semalam.

Razali ingin mendapatkan kepastian susulan tular di media sosial kononnya Ahmad Faizal bernikah dengan Erra Fazira.

“Syabas kerana turun jawab soalan. Hari ini saya ada tiga (soalan).

“Dalam sehari dua ini di media sosial gegak gempita mengatakan Yang Berhormat Menteri Belia (dan Sukan) berkahwin dengan seorang artis popular tanah air,” soal Razali.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, tidak membenarkan soalan itu dijawab kerana ia di luar skop tumpuan.

“Ada kena mengena? Ini di luar skop. Itu hal peribadi beliau dan saya tidak benarkan beliau menjawab,” kata Rais.

Namun, Razali membalas dengan mengatakan persoalan diajukan itu ada kena mengena kerana membabitkan peribadi Ahmad Faizal sebagai menteri.

Susulan itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu memberi respon terhadap soalan Razali walaupun Speaker melarang soalan dijawab.

“51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali. Itupun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna akaun Twitter mendakwa pelakon dan penyanyi Erra Fazira sudah bernikah dan menjadi isteri kedua Ahmad Faizal.

Perkara itu bagaimanapun turut dinafikan oleh Erra Fazira yang menegaskan masih bergelar ibu tunggal dan belum bernikah lagi, malah jauh sekali bergelar isteri kedua kepada seorang pemimpin politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here