PH Melaka cabar pembentukan kerajaan sementara di mahkamah

0
1

PAKATAN Harapan (PH) Melaka akan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keabsahan pembentukan kerajaan sementara berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya Adly Zahari berkata dokumen bagi tujuan itu sedang disiapkan oleh pasukan peguam dilantik PH, dan dijangka difailkan selewat-lewatnya awal minggu depan.

“PH tidak mengiktiraf kerajaan sementara ini dan bagaimana Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang sudah kehilangan majoriti di DUN boleh menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, supaya membubarkan DUN.

“Kami akan mencabar keabsahan kerajaan sementara di mahkamah secepat mungkin,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Menurut Adly, pembubaran DUN dibuat tanpa mengambil kira pandangan kumpulan memiliki sokongan majoriti ADUN.

DUN Melaka dibubarkan berkuatkuasa 4 Oktober lalu oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka susulan kerajaan hilang majoriti selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

ADUN yang menarik sokongan itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Sementara itu, Adly berkata jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, jentera PH sudah bersedia untuk merampasnya semula daripada Barisan Nasional (BN).

“Jentera di seluruh negeri akan digerakkan sebaik saja ada perkembangan lanjut mengenai PRN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan jika empat bekas ADUN yang menarik balik sokongan kepada Sulaiman, menyertai parti komponen dalam PH. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Adly Zahari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here