Kerajaan komited terajui agenda perubahan iklim negara – PM

0
1

MESYUARAT Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC), dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuat beberapa ketetapan berhubung isu perubahan iklim yang perlu ditangani segera.

Ismail Sabri berkata, julung kalinya pendirian negara yang bakal dibentangkan semasa Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNFCCC COP-26), di Glasgow, Scotland telah dibincangkan di peringkat tertinggi negara melalui platform MyCAC.

Beliau berkata, Majlis berkenaan dianggotai oleh 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan dua pakar sebagai ahli jemputan.    

Menurutnya, walaupun beliau dan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, tidak dapat menghadiri persidangan yang berlangsung November ini, mandat diberikan kepada delegasi diketuai KASA untuk menyampaikan kenyataan negara.

“Antara intipati akan diketengahkan dalam kenyataan negara adalah Malaysia berhasrat mengurangkan intensiti pelepasan gas

rumah kaca (greenhouse gas – GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus pada 2030 kelak dan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (netzero GHG emissions) seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Ketetapan lain adalah Pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA, dengan kerjasama

Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MyCAC juga memutuskan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan

100 peratus kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE), menjelang 2030.

“Selain mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta

pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran.  

“Kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari; dan menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi

pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dalam hal ini juga, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara-negara di rantau ini.

“Memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor, dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda tersebut.

“Justeru, kerajaan wajar memperkukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara, antaranya melalui penubuhan Pusat GHG

Kebangsaan di bawah KASA,” katanya.

Menurutnya, selaras dengan pendekatan pembabitan semua pihak, pemegang taruh juga diseru untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda perubahan iklim negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here