Kirimkan salam saya kepada ibu dan ayah, saudara mara di kampung – Muhyiddin

0
1
fb

RAKYAT diingatkan supaya tidak leka dan alpa dengan kelonggaran diberikan termasuk terbaru kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu selama ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata virus Covid-19 masih berada di dalam komuniti, oleh itu peluang rentas negeri yang diberikan perlu diambil sebaiknya.

“Alhamdulillah berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia, akhirnya rentas sempadan antara negeri untuk penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi lengkap, dibenarkan hari ini seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya amat mengalu-alukan pengumuman yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh jutaan rakyat Malaysia baik yang tua mahupun yang muda, di bandar mahupun di desa.

“Saya memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, lebih ramai yang divaksin, maka lebih ramai yang akan terlindung dari dijangkiti Covid-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang. 

“Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul.

“Kelonggaran hanya diberikan apabila risiko sektor dinilai, dan kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk di Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata, seperti yang sering beliau tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19  sebelum ini bahawa suntikan vaksin ini merupakan ‘cahaya di hujung terowong’.

“Ambil peluang rentas negeri ini untuk menziarahi orang tua dan keluarga tercinta yang dirindui, mencari rezeki, membantu peniaga-peniaga kecil dengan melancong dalam negeri, membeli barangan buatan tempatan dan makan makanan diidamkan.

“Namun, jangan kita melanggar prosedur operasi standard (SOP). Amalkan kawalan kendiri dengan ketat, pakai pelitup muka, elakkan bersentuhan, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan,” pesannya.

Beliau juga menyarankan agar orang ramai melakukan ujian kendiri Covid-19 terutamanya dengan kit di rumah sendiri yang dijual dengan harga yang berpatutan kini di farmasi dan atas talian.

“Selain usaha-usaha kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan Covid-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus Covid-19.

“Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda dipermudah dan semoga anda dan keluarga sentiasa dilindungi. 

“Kirimkan salam saya kepada ibu dan ayah, saudara mara di kampung!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here