PERSIAPAN jentera Umno bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan tetap dilakukan meskipun jika Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkan ia ditangguhkan berikutan situasi pandemik Covid-19.
“Sama ada cepat atau lambat, PRN akan tetap diadakan. Justeru jentera perlu disiapkan bermula dari sekarang,” kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bercakap kepada media di Klebang malam tadi, Ahmad berkata Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan cadangan PRN itu, selepas mendapat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan membentangkan situasi politik negeri kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Khamis ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu akan turut membentangkan persiapan jentera PRN Melaka.
“Mereka akan membentangkan keadaan sebenar politik Melaka kepada MT dan sudah pasti beberapa lagi perkara berkaitan PRN.
“Presiden Umno bersama semua ahli MKT akan membincangkan secara khusus persiapan jentera parti dalam menghadapi PRN ini,” katanya.
Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Umno Melaka, antara lain membincangkan situasi politik terkini di negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad memaklumkan PRN Melaka jika diadakan, tidak akan mengganggu perjalanan persidangan Cawangan Umno yang dijadual bermula 15 Oktober hingga 30 November ini. – Malaysiapost

