[PARLIMEN] PROSEDUR pemantauan pergerakan lebih ketat akan dikenakan terhadap penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan tenaga pengajar universiti yang belum divaksin, jika mereka terpaksa hadir secara fizikal ke kampus.
Perkara itu diberitahu di Dewan Rakyat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang memaklumkan 2,286 atau 0.2 peratus pelajar yang menghadapi masalah kesihatan setakat 8 Oktober lalu, tidak menerima vaksin.
“Jadi IPT disaran untuk membantu pelajar-pelajar ini supaya pengajian mereka tidak terjejas.
“Dalam situasi kritikal, sekiranya kehadiran secara fizikal tenaga pengajar atau pelajar yang tidak divaksin tidak dapat dielak, maka pemantauan pergerakan yang lebih ketat, Insya-Allah kita akan laksanakan.
“(Langkah ini) seperti pelaksanaan ujian saringan RTK-PCR tiga hari sebelum masuk kampus adalah wajib.
“IPT juga digalakkan melaksanakan ujian saringan kendiri secara berkala untuk memastikan mereka dalam keadaan baik,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mahu tahu keadaan mahasiswa tidak divaksin.
Mengulas lanjut, Noraini memaklumkan setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 83 peratus atau 951,739 daripada 1.15 juta penuntut IPT telah lengkap dua dos vaksin Covid-19.
Katanya, kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan universiti yang lengkap menerima dos vaksin pula mencecah 90 peratus atau 117,721 orang.
“Pihak kementerian mengutamakan pelajar dan warga IPT yang mendapat dos vaksin lengkap untuk kembali ke kampus secara berperingkat, manakala pelajar lain boleh mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.
“Ini bagi mamastikan persekitaran IPT lebih selamat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

