Lebih 1.2 juta populasi dewasa masih tidak divaksin

0
2
Penerima-penerima hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini.

KETIKA negara telah mencapai lebih 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi semalam, masih terdapat 5.2 peratus lagi tidak menerima vaksin Covid-19.

Berdasarkan data di portal COVIDNOW, peratusan tersebut membabitkan 1,224,080 individu dewasa di seluruh negara, setakat jam 11.59 malam tadi.

Semakan menerusi data di portal itu menunjukkan Sabah adalah negeri terendah dari segi jumlah populasi dewasa lengkap divaksinasi iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan (73.6) dan Kedah (79.5).

Dalam pada itu, seramai 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi sehingga semalam, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus ditetapkan.

Sasaran tersebut dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara dibenarkan bermula hari ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, seramai 22,185,520 individu dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4 peratus sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu sehingga semalam, manakala 72.2 peratus atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here