AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu mendakwa seolah-olah terdapat ‘double standard’ dalam kemelut politik di Melaka.
Ini kerana, dakwa Datuk Norhizam Hassan Baktee, seramai 15 Adun Bebas dan pembangkang tidak dapat bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri dengan alasan Tun Mohd Ali Rustam sedang menjalani kuarantin kendiri.
Namun sebaliknya beliau mempersoalkan bagaimana Umno berjumpa dengan yang di-Pertua Negeri dan dapat menandatangani pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa lalu.
“Sedangkan apa yang kita tahu mereka ini sudah hilang majoriti dan boleh pula membubarkan DUN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Norhizam dengan rendah diri memaklumkan seharusnya Yang di-Pertua Negeri memanggil kesemua Adun Melaka atau sekurang-kurangnya bertemu 15 Adun yang mempunyai majoriti dan berbincang.
Dalam masa sama, katanya, seharusnya pandangan dan nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pengarah Kesihatan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan lain-lain perlu dipanggil sebelum satu keputusan besar dan membabitkan nyawa rakyat dibuat.
“Jika sedang menjalani kuarantin maka seharusnya keputusan ini ditangguhkan,” katanya.
Adun Bebas itu berkata adalah tidak bertanggungjawab apabila prinsip undang-undang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melawan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada 2010, tidak dipatuhi hingga mengheret rakyat ke dalam kemelut politik.
Katanya, sehingga kini persoalan yang timbul adakah wajar PRN dilaksanakan dalam suasana Covid-19 serta darurat diisytihar, siapakah kerajaan ‘caretaker’, wajarkah Adun yang mempunyai majoriti dipinggirkan, adakah wajar DUN dibubarkan serta tidakkah PRN Sabah menjadi pengajaran.
“Justeru kita sarankan pihak yang sudah hilang majoriti agar bersikap profesional dengan berundur diri dan memberi ruang kepada pihak yang memiliki majoriti untuk mentadbir negeri, sekali gus memadam kemelut politik Melaka.
“Saya berpendirian ‘No Pilihan Raya, No Darurat’,” katanya. – Malaysiapost

