Rentas negeri: PDRM pertingkat pemantauan di lokasi awam

0
1
lebuhraya jam kereta jalanraya highway pkp

PASUKAN Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan pemeriksaan di lokasi tumpuan awam termasuk kawasan Rehat dan Rawat (RnR), susulan penamatan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata kekuatan pasukan pematuhan SOP akan ditambah selaras penugasan berikutan perjalanan merentas negeri dibenarkan mulai hari ini.

Katanya, pemeriksaan secara rawak akan dilakukan dan jika orang ramai tidak mematuhi SOP termasuk tidak lengkap vaksinasi, mereka akan dikenakan kompaun.

“Setakat ini kita akan tempatkan pasukan pemantau di setiap lokasi awam seperti pusat beli-belah, kawasan riadah serta RnR,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, aliran trafik di lebuh raya seluruh negara dijangka meningkat susulan pertambahan kenderaan untuk merentas negeri.

“Cuma kita berharap pengguna jalan raya yang mahu memulakan perjalanan jauh dengan kenderaan sendiri melalui lebuh raya sentiasa berhati-hati dan jangan abaikan peraturan serta patuhi had kelajuan ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here