KERAJAAN perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, adil dan bebas pendedahan antarabangsa seperti Pandora Papers, Panama Papers dan Swiss Leaks.
Perkara itu disarankan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil kerana mendakwa negara kehilangan hasil cukai yang besar menerusi aliran keluar wang secara haram.
“Jangan biarkan rakyat marhaen yang tidak bersalah terus merana. Kekayaan negara harus dikongsi secara adil demi mencapai kemakuran bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Faiz berkata kontroversi “Pandora Papers” bukanlah isu yang baharu, malah pendedahan mengenai simpanan luar pesisir (offshore) telah berlaku beberapa kali dalam dekad yang lepas.
Beliau berkata, dalam pendedahan “Panama Papers” pada tahun 2016, sekurang-kurangnya 1,784 individu Malaysia telah dinamakan, manakala pada tahun 2015, pendedahan “Swiss Leaks” menunjukkan bahawa 93 akaun klien berkait dengan Malaysia.
“Semua pendedahan ini menunjukkan bagaimana ahli politik dan orang kaya lari daripada cukai dan menyimpan kekayaan mereka dalam akaun-akaun tersembunyi di negara lain, yang selalunya mempunyai kadar cukai yang rendah.
“Akibatnya, Malaysia kehilangan hasil cukai, sehinggakan rakyat B40 dipaksa bayar cukai lebih tinggi, contohnya menerusi GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).
“Saban tahun, Malaysia berada dalam kalangan lima negara teratas dalam isu aliran keluar wang haram. Kerajaan tidak pernah ada suruhanjaya khas yang bebas untuk menyiasat isu ini,” katanya lagi.
Justeru beliau berkata, rakyat perlu bersatu hati menolak amalan rasuah dan mengangkat agenda integriti dan tadbir urus baik.
Katanya, dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu, dokumen tersebut menyebut tentang perang menentang pelbagai kegiatan haram termasuk aliran dana haram.
“Untuk berjaya dalam perang menentang aliran keluar wang haram ini, Malaysia perlu menambah baik sistem perundangan dan pemantauan pihak berkuasa.
“Episod hitam negara dengan kewujudan pelbagai “shell company” yang seterusnya menyebabkan berlaku skandal 1MDB tidak boleh dibiarkan berulang,” katanya.
Baru-baru ini, beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang dan pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.
Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.
Menurut pendedahan tersebut, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia. – Malaysiapost

