DATUK Seri Najib Razak terus ‘mengusik’ Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan bersandiwara mengenai isu Pulau Batu Puteh yang terlepas ke tangan negara jiran, Singapura.
Menerusi perkongsian di Facebook, Najib menyorot kembali bagaimana kisah Pulau Batu Puteh yang terlepas daripada penguasaan Malaysia sambil menyindir Pengerusi parti PEJUANG itu.
“Yang setuju dengan Singapura untuk membawa isu pemilikan Pulau Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ialah PM (Perdana Menteri) ke-4.
“Lalu kita kalah di ICJ sebelum saya menjadi PM. Yang mengalir air mata kerana kehilangan pulau itu sebelum PRU14 ialah PM ke-4,” katanya menerusi Facebook.
Najib turut mendakwa usaha mendapatkan kembali Pulau Batu Puteh telah dilakukannya ketika beliau menjadi Perdana Menteri dengan mengemukakan rayuan kepada ICJ.
Namun, menurut Najib, usaha itu dihentikan oleh Dr Mahathir ketika kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.
“Siasat, jangan tak siasat. Yang memfailkan rayuan ke ICJ untuk mendapat balik pulau itu ialah kerajaan PM ke-6.
“Yang hentikan rayuan Malaysia ke ICJ selepas PRU14 pula ialah PM ke-7. Dan yang kata Malaysia tidak minat untuk tuntut balik Pulau Batu Puteh pula ialah kerajaan PM ke-7.
“Yang membenarkan tempoh rayuan ICJ untuk tamat sehingga kita benar-benar hilang Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya ialah kerajaan PM ke-7,” katanya.
Najib turut membidas Dr Mahathir yang akur dengan nasihat bekas Peguam Negara Tommy Thomas yang menyifatkan usaha mendapatkan semula Pulau Batu Puteh patut dihentikan atas faktor kos dan peluang untuk menang dalam rayuan adalah tipis.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, berkenaan permohonan semakan undang-undang berhubung isu Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca. – Malaysiapost

