PRN Melaka: Bersatu sentiasa buka pintu rundingan dengan parti lain

0
2
grafik

BERSATU sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu dinyatakan, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang turut menyifatkan parti itu mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

“Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menteri Belia dan Sukan itu ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Alor Gajah di Melaka, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, difahamkan pucuk kepemimpinan Umno masih belum membincangkan mengenai cadangan kerjasama berkenaan.

Mengulas isu yang sama, Ahmad Faizal berkata, penolakan kerjasama antara Umno dan Bersatu itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti itu, sebaliknya hanya dicadangkan oleh beberapa pemimpin sahaja.

“Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili.

“Saya percaya masyarakat, terutama orang Melayu sangat berharap dan mendoakan orang politik tidak bergaduh dan bercakaran sesama sendiri.

“Sebaliknya mengerat dan merapatkan saf dan pada masa sama mementingkan rakyat lebih daripada kepentingan diri, kumpulan atau parti yang mereka wakili,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here