KERAJAAN sepatutnya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berbanding menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku penulisannya.
Perkara itu dipersoalkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang berkata, siasatan terhadap penulisan Tommy Thomas patut dilakukan oleh RCI kerana ianya melibatkan kepentingan negara.
“Dalam pertemuan dengan Umno Johor dua minggu lalu Perdana Menteri sebut untuk tubuh RCI Tommy Thomas.
“Tetapi semalam, Kabinet hanya setuju tubuh pasukan petugas khas menyiasat dakwaan Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
“Oleh kerana isu Tommy Thomas adalah isu besar yang libatkan kepentingan negara dan integriti maka sepatutnya penubuhan RCI (Suruhanjaya Di Raja) lebih mendesak,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas mengenainya, Mohd Puad menegaskan, dakwaan bekas Peguam Negara di dalam penulisan bukunya adalah serius kerana menyentuh salah guna kuasa dalam pelantikan hakim, campur tangan eksekutif, pendakwaan terpilih serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.
Tambah Mohd Puad, RCI ada asas perundangan dan ditubuh berdasarkan statut.
“Pasukan Petugas Khas pula tidak ada kuasa perundangan untuk panggil saksi, rakam percakapan atau untuk dapatkan dokumen berkaitan.
“Bagaimanapun Perdana Menteri sebut, pasukan petugas khas ini hanya untuk buat kajian awal sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.
Justeru, Mohd Puad mencadangkan, matlamat Pasukan Petugas Khas ini mestilah ke arah penubuhan Suruhanjaya Di Raja (RCI) Tommy Thomas.
“Kedua beri tempoh hanya satu bulan kepada Pasukan Petugas Khas ini membuat kajian awal. Tempoh 6 bulan adalah terlalu lama. Sedangkan ramai pihak terkesan dengan isu ini.
“Ketiga, Pasukan Petugas Khas ini mestilah bebas total dan tidak ada pengaruh pejabat Peguam Negara. Tidak sesuai bekas AG disiasat oleh AGC,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Perdana Menteri berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. – Malaysiapost

